Monday, May 29, 2017

AYAT 91

Mereka berkata : "Demi Allah ! Sesungguhnya Allah telah melebihkan dan memuliakan engkau daripada kami (disebabkan taqwa dan kesabaranmu); dan sesungguhnya kami adalah orang-orang yang bersalah."
(Yusuf 12:91)

Setelah Yusuf memberikan pengakuan dan saudara-saudaranya telah meyakini bahawa Al-Aziz itu adalah Yusuf sendiri, mereka secara jujur mengakui dan menghargai kemuliaan yang diberikan Allah SWT kepada Yusuf tentang kelebihan ilmunya, ketinggian kesopanan yang memilikinya dan dengan terus terang mereka mengakui kesalahan yang telah diperbuat kepada Yusuf dan Bunyamin dengan sengaja dan direncanakan sebelumnya. Suatu kesalahan yang tidak dapat diampuni oleh Allah SWT kecuali dengan taubat nasuha dan tidak dapat dimaafkan kecuali dengan hati yang lapang dan budi yang luhur dari yang bersangkutan.

AYAT 92

Yusuf berkata : "Kamu pada hari ini tidak akan ditempelak atau disalahkan (tentang perbuatan kamu yang telah terlanjur itu), semoga Allah mengampunkan dosa kamu, dan Dia lah jua Yang Maha Mengasihani daripada segala yang lain yang mengasihani.
(Yusuf 12:92)

Yusuf seorang nabi, manusia pilihan mempunyai budi pekerti yang mulia, kesopanan yang tinggi setelah mendengar pengakuan kesalahan dari saudara-saudaranya secara terus-terang dengan tegas ia mengatakan :"Tidak ada celaan, cercaan dan kekerasan dari diri saya sekarang ini, tetapi saya memaafkan segala kesalahan kalian yang telah diperbuat kepada saya dan kepada adikku Bunyamin.

Saya doakan semoga Allah SWT mengampuni dosa kalian yang tidak ringan itu asal kalian dengan segala keikhlasan dan kerendahan hati mahu bertaubat kepada Nya dengan menyesali perbuatan burukmu itu dan tidak akan melakukan dan mengulangi lagi serta berbuat baik kerana Dia adalah Maha Penyayang."

Budi pekerti yang mulia dan kesopanan yang tinggi yang telah dilakukan oleh Nabi Yusuf as itu pernah juga dilakukan dan dicontohkan oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW iaitu pada ketika beliau dan bala tenteranya menakluki kota mekah. Setelah Nabi Muhammad SAW bertawaf dan kemudian solat sunat dua rakkat, beliau dengan mengambil tempat disamping Kaabah menghadap para tawanan perang lalu berkata yang maksudnya :

"Apakah perkiraanmu yang saya akan perbuat terhadap kaliaan." Para tawanan menjawab : "Kami hanya menyangka yang baik saja, saudara yang mulia dan anak saudara yang mulia. "Nabi SAW bersabda :"Saya akan mengatakan sebagaimana yang telah dikatakan oleh rakanmu Yusuf :"tidak ada celaan dan kekerasan sekarang ini." Maka keluarlah para tawanan itu (meninggalkan tempat) seakan - akan mereka dibangkitkan dari kubur.
(HR Bukhari dari Abu Hurairah)

AYAT 93

"Pergilah dengan membawa bajuku ini, kemudian letakkan pada muka ayahku supaya ia dapat melihat, dan selepas itu bawalah kepadaku keluarga kamu semuanya."
(Yusuf 12:93)

Setelah Yusuf memperkenalkan dirinya kepada saudara-saudaranya, dia lalu menanyakan kepada mereka tentang ayahnya yang oleh mereka dijawab, bahawa beliau buta dan tidak boleh melihat lagi. Seketika itu Yusuf memberkan bajunya kepada saudara-saudaranya dan disuruhnya mereka membawanya pulang ke negerinya. Dan apabila  mereka sudah sampai supaya dengan segera baju itu diletakkan ke wajah beliau, nescaya akan melihatlah dia kerananya dan akan lepaslah kotoran yang menutupi matanya itu.

Yusuf berani berkata demikian kerana dia mengetahui hal itu dengan perantara wahyu. Selain dari itu dia juga mengetahui bahawa sebab tertutupnya penglihatan ayahnya itu ialah kerana terlalu banyak menangis dan merasa sempit dada. Apabila ayahnya mengetahui baju yang menandakan bahawa Yusuf masih hidup dan selamat dari aniaya dan cubaan yang dialaminya, tentulah ia akan senang dan timbullah di dalam hatinya perasaan gembira.

Akhirnya ia akan melihat kembali seperti sedia kala. Selain dari itu, Yusuf juga meminta kepada saudara-saudaranya supaya mendatangkan segenap keluarganya ke Mesir baik lelaki mahupun perempuan ataupun anak-anak yang dalam suatu riwayat, bahawa semuanya berjumlah tujuh puluh orang.

AYAT 94

Dan semasa kafilah (mereka meninggalkan Mesir menuju ke tempat bapa mereka di Palestin), berkatalah bapa mereka (kepada kaum kerabatnya yang ada di sisinya): "Sesungguhnya aku ada terbau akan bau Yusuf. Jika kamu tidak menyangka aku sudah nyanyuk (tentulah kamu akan percaya)."
(Yusuf 12:94)

Tatkala barisan unta anak-anak Yaakub keluar dari perbatasan Mesir menuju ke tanah Syam, berkatalah Yaakub kepada cucu-cucunya dan orang-orang lain yang berada disampingnya pada waktu itu :"Saya telah mencium bau Yusuf yang wangi itu, persis baunya yang pernah saya kenal diwaktu kecilnya. Andaikata kalian tidak buruk sangka kepada saya, menyangka bahawa saya lemah akal, rosak fikiran kerana terlalu tua tentunya kalian membenarkan ucapanku ini bahawa saya benar-benar mencium bau Yusuf dan dia masih hidup serta di dalam waktu yang tidak lama lagi saya akan berjumpa dengan dia dan merasa senang melihatnya." Ini adalah mukjizat bagi Yaakub yang dapat mencium bau Yusuf dari temapat yang amat jauh itu, yang di dalam perjalanan unta memakan waktu delapan hari.

AYAT 95

Mereka berkata : "Demi Allah ! Sesungguhnya ayah masih berada dalam keadaan tidak siumanmu yang lama."
(Yusuf 12 :95)


Keluarga baginda yang menjaga Nabi Ya'kub waktu itu, yang tinggal dengan baginda waktu itu, kehairanan dengan apa yang dikatakan oleh baginda. Mana mungkin boleh cium bau baju dari jauh ?

Dan mereka pun dah tahu Nabi Ya'kub berkeadaan macam itu, maka mereka pun merendahkan kata-katanya itu. Mereka kata baginda dalam kesilapan yang amat lama. Kenapalah baginda masih lagi nak sangka Nabi Yusuf dapat hidup sekian lama, sampai boleh tercium bau anaknya pula ? Mereka mengatakan kalimat yang kurang ajar terhadap baginda, padahal kata-kata itu tidak pantas mereka katakan kepada seorang tua, terlebih lagi baginda adalah seorang Nabi Allah.

Ada diantara mereka yang berkata :" Demi Allah, sesungguhnya kamu masih saja dalam kekeliruanmu seperti dulu-dulu juga, yang menyangka bahawa Yusuf masih hidup di dalam waktu yang singkat akan bertemu dan merasa senang melihatnya. Kami berpendapat bahawa fikiran semacam ini adalah fikiran yang kacau dan sesat."

AYAT 96

Maka sebaik-baik sahaja datang pembawa khabar berita yang menggembirakan itu, dia pun meletakkan baju Yusuf pada muka Nabi Ya'kub, lalu menjadilah ia celik kembali seperti sediakala. Nabi Ya'kub berkata : "Bukankah aku telah katakan kepada kamu, sesungguhnya aku mengetahui (dengan perantaraan wahyu) dari Allah akan apa yang kamu tidak mengetahuinya ?"
(Yusuf 12:96)

Yang bawa baju Nabi Yusuf itu tentu salah seorang dari abangnya. Dia datang dengan bawa kegembiraan iaitu dalam bentuk baju dari Nabi Yusuf. Kali ini dia datang dengan berlari. Kali ini mereka datang bawa baju dan khabar gembira. Ingat tak dulu masa kali pertama mereka bawa baju baginda yang berlumuran darah, mereka menangis ? Keadaan sudah terbalik sekarang.

Dia terus letak sahaja baju itu atas muka Nabi Ya'kub, tidak cakap apa pun. Kerana takut kalau cakap pun, takut ayah mereka tidak percaya. Apabila baju itu kena muka baginda, maka baginda boleh melihat balik. Ini adalah mukjizat.

Sekarang Nabi Ya'kub gembira semula. Dan baginda mengingatkan kembali mereka yang tidak percaya kepadanya dahulu: tidakkah aku dulu cakap kepada kamu semua ? Kamu dulu tidak percaya, bukan ? Lihat sekarang baju Yusuf sudah sampai. Dari dulu lagi aku cakap dia masih hidup.

AYAT 97

Mereka berkata : "Wahai ayah kami ! Mintalah ampun bagi kami akan dosa-dosa kami; sesungguhnya kami adalah orang-orang yang bersalah."
(Yusuf 12:97)

Mereka meminta ayah mereka istighfar bagi pihak mereka. Dalam masa yang sama, mereka pun sama-sama minta ampun. Mereka minta Nabi Ya'kub meminta ampun bagi pihak mereka dan mereka akan aminkannya.

Ramai yang menggunakan ayat ini sebagai dalil untuk tawasul iaitu meminta orang lain doakan. Ramailah yang minta ustaz doakan, orang surau doakan, tok guru doakan. Tapi kita kena ingat yang Nabi Ya'kub adalah seorang Nabi. maka doa baginda memang makbul. Jadi patutlah kalau mereka minta Nabi Ya'kub doakan untuk mereka. kalau guru, ustaz dan orang surau, adakah doa mereka itu pasti makbul ? Kalau tidak pasti, kena bergantung sangat dengan doa mereka ? Apa beza dengan doa kita sendiri ?

Keduanya, kesalahan mereka itu melibatkan ayah mereka sendiri. Mereka telah menipu ayah mereka, memisahkan baginda dari anak kesayangannya, maka patutlah kalau mereka minta istighfar dari ayah mereka.

Oleh itu, jangan gunakan dalil ini sebagai hujah untuk mengatakan patut minta 'orang alim' doakan untuk kita. Doalah sendiri sahaja, tanpa perlu berharap kepada doa orang lain. kalau kita doa sendiri, itu lebih ikhlas dan lebih makbul dari doa orang lain yang belum tentu ikhlas.