Monday, May 29, 2017

AYAT 91

Mereka berkata : "Demi Allah ! Sesungguhnya Allah telah melebihkan dan memuliakan engkau daripada kami (disebabkan taqwa dan kesabaranmu); dan sesungguhnya kami adalah orang-orang yang bersalah."
(Yusuf 12:91)

Setelah Yusuf memberikan pengakuan dan saudara-saudaranya telah meyakini bahawa Al-Aziz itu adalah Yusuf sendiri, mereka secara jujur mengakui dan menghargai kemuliaan yang diberikan Allah SWT kepada Yusuf tentang kelebihan ilmunya, ketinggian kesopanan yang memilikinya dan dengan terus terang mereka mengakui kesalahan yang telah diperbuat kepada Yusuf dan Bunyamin dengan sengaja dan direncanakan sebelumnya. Suatu kesalahan yang tidak dapat diampuni oleh Allah SWT kecuali dengan taubat nasuha dan tidak dapat dimaafkan kecuali dengan hati yang lapang dan budi yang luhur dari yang bersangkutan.

AYAT 92

Yusuf berkata : "Kamu pada hari ini tidak akan ditempelak atau disalahkan (tentang perbuatan kamu yang telah terlanjur itu), semoga Allah mengampunkan dosa kamu, dan Dia lah jua Yang Maha Mengasihani daripada segala yang lain yang mengasihani.
(Yusuf 12:92)

Yusuf seorang nabi, manusia pilihan mempunyai budi pekerti yang mulia, kesopanan yang tinggi setelah mendengar pengakuan kesalahan dari saudara-saudaranya secara terus-terang dengan tegas ia mengatakan :"Tidak ada celaan, cercaan dan kekerasan dari diri saya sekarang ini, tetapi saya memaafkan segala kesalahan kalian yang telah diperbuat kepada saya dan kepada adikku Bunyamin.

Saya doakan semoga Allah SWT mengampuni dosa kalian yang tidak ringan itu asal kalian dengan segala keikhlasan dan kerendahan hati mahu bertaubat kepada Nya dengan menyesali perbuatan burukmu itu dan tidak akan melakukan dan mengulangi lagi serta berbuat baik kerana Dia adalah Maha Penyayang."

Budi pekerti yang mulia dan kesopanan yang tinggi yang telah dilakukan oleh Nabi Yusuf as itu pernah juga dilakukan dan dicontohkan oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW iaitu pada ketika beliau dan bala tenteranya menakluki kota mekah. Setelah Nabi Muhammad SAW bertawaf dan kemudian solat sunat dua rakkat, beliau dengan mengambil tempat disamping Kaabah menghadap para tawanan perang lalu berkata yang maksudnya :

"Apakah perkiraanmu yang saya akan perbuat terhadap kaliaan." Para tawanan menjawab : "Kami hanya menyangka yang baik saja, saudara yang mulia dan anak saudara yang mulia. "Nabi SAW bersabda :"Saya akan mengatakan sebagaimana yang telah dikatakan oleh rakanmu Yusuf :"tidak ada celaan dan kekerasan sekarang ini." Maka keluarlah para tawanan itu (meninggalkan tempat) seakan - akan mereka dibangkitkan dari kubur.
(HR Bukhari dari Abu Hurairah)

AYAT 93

"Pergilah dengan membawa bajuku ini, kemudian letakkan pada muka ayahku supaya ia dapat melihat, dan selepas itu bawalah kepadaku keluarga kamu semuanya."
(Yusuf 12:93)

Setelah Yusuf memperkenalkan dirinya kepada saudara-saudaranya, dia lalu menanyakan kepada mereka tentang ayahnya yang oleh mereka dijawab, bahawa beliau buta dan tidak boleh melihat lagi. Seketika itu Yusuf memberkan bajunya kepada saudara-saudaranya dan disuruhnya mereka membawanya pulang ke negerinya. Dan apabila  mereka sudah sampai supaya dengan segera baju itu diletakkan ke wajah beliau, nescaya akan melihatlah dia kerananya dan akan lepaslah kotoran yang menutupi matanya itu.

Yusuf berani berkata demikian kerana dia mengetahui hal itu dengan perantara wahyu. Selain dari itu dia juga mengetahui bahawa sebab tertutupnya penglihatan ayahnya itu ialah kerana terlalu banyak menangis dan merasa sempit dada. Apabila ayahnya mengetahui baju yang menandakan bahawa Yusuf masih hidup dan selamat dari aniaya dan cubaan yang dialaminya, tentulah ia akan senang dan timbullah di dalam hatinya perasaan gembira.

Akhirnya ia akan melihat kembali seperti sedia kala. Selain dari itu, Yusuf juga meminta kepada saudara-saudaranya supaya mendatangkan segenap keluarganya ke Mesir baik lelaki mahupun perempuan ataupun anak-anak yang dalam suatu riwayat, bahawa semuanya berjumlah tujuh puluh orang.

AYAT 94

Dan semasa kafilah (mereka meninggalkan Mesir menuju ke tempat bapa mereka di Palestin), berkatalah bapa mereka (kepada kaum kerabatnya yang ada di sisinya): "Sesungguhnya aku ada terbau akan bau Yusuf. Jika kamu tidak menyangka aku sudah nyanyuk (tentulah kamu akan percaya)."
(Yusuf 12:94)

Tatkala barisan unta anak-anak Yaakub keluar dari perbatasan Mesir menuju ke tanah Syam, berkatalah Yaakub kepada cucu-cucunya dan orang-orang lain yang berada disampingnya pada waktu itu :"Saya telah mencium bau Yusuf yang wangi itu, persis baunya yang pernah saya kenal diwaktu kecilnya. Andaikata kalian tidak buruk sangka kepada saya, menyangka bahawa saya lemah akal, rosak fikiran kerana terlalu tua tentunya kalian membenarkan ucapanku ini bahawa saya benar-benar mencium bau Yusuf dan dia masih hidup serta di dalam waktu yang tidak lama lagi saya akan berjumpa dengan dia dan merasa senang melihatnya." Ini adalah mukjizat bagi Yaakub yang dapat mencium bau Yusuf dari temapat yang amat jauh itu, yang di dalam perjalanan unta memakan waktu delapan hari.

AYAT 95

Mereka berkata : "Demi Allah ! Sesungguhnya ayah masih berada dalam keadaan tidak siumanmu yang lama."
(Yusuf 12 :95)


Keluarga baginda yang menjaga Nabi Ya'kub waktu itu, yang tinggal dengan baginda waktu itu, kehairanan dengan apa yang dikatakan oleh baginda. Mana mungkin boleh cium bau baju dari jauh ?

Dan mereka pun dah tahu Nabi Ya'kub berkeadaan macam itu, maka mereka pun merendahkan kata-katanya itu. Mereka kata baginda dalam kesilapan yang amat lama. Kenapalah baginda masih lagi nak sangka Nabi Yusuf dapat hidup sekian lama, sampai boleh tercium bau anaknya pula ? Mereka mengatakan kalimat yang kurang ajar terhadap baginda, padahal kata-kata itu tidak pantas mereka katakan kepada seorang tua, terlebih lagi baginda adalah seorang Nabi Allah.

Ada diantara mereka yang berkata :" Demi Allah, sesungguhnya kamu masih saja dalam kekeliruanmu seperti dulu-dulu juga, yang menyangka bahawa Yusuf masih hidup di dalam waktu yang singkat akan bertemu dan merasa senang melihatnya. Kami berpendapat bahawa fikiran semacam ini adalah fikiran yang kacau dan sesat."

AYAT 96

Maka sebaik-baik sahaja datang pembawa khabar berita yang menggembirakan itu, dia pun meletakkan baju Yusuf pada muka Nabi Ya'kub, lalu menjadilah ia celik kembali seperti sediakala. Nabi Ya'kub berkata : "Bukankah aku telah katakan kepada kamu, sesungguhnya aku mengetahui (dengan perantaraan wahyu) dari Allah akan apa yang kamu tidak mengetahuinya ?"
(Yusuf 12:96)

Yang bawa baju Nabi Yusuf itu tentu salah seorang dari abangnya. Dia datang dengan bawa kegembiraan iaitu dalam bentuk baju dari Nabi Yusuf. Kali ini dia datang dengan berlari. Kali ini mereka datang bawa baju dan khabar gembira. Ingat tak dulu masa kali pertama mereka bawa baju baginda yang berlumuran darah, mereka menangis ? Keadaan sudah terbalik sekarang.

Dia terus letak sahaja baju itu atas muka Nabi Ya'kub, tidak cakap apa pun. Kerana takut kalau cakap pun, takut ayah mereka tidak percaya. Apabila baju itu kena muka baginda, maka baginda boleh melihat balik. Ini adalah mukjizat.

Sekarang Nabi Ya'kub gembira semula. Dan baginda mengingatkan kembali mereka yang tidak percaya kepadanya dahulu: tidakkah aku dulu cakap kepada kamu semua ? Kamu dulu tidak percaya, bukan ? Lihat sekarang baju Yusuf sudah sampai. Dari dulu lagi aku cakap dia masih hidup.

AYAT 97

Mereka berkata : "Wahai ayah kami ! Mintalah ampun bagi kami akan dosa-dosa kami; sesungguhnya kami adalah orang-orang yang bersalah."
(Yusuf 12:97)

Mereka meminta ayah mereka istighfar bagi pihak mereka. Dalam masa yang sama, mereka pun sama-sama minta ampun. Mereka minta Nabi Ya'kub meminta ampun bagi pihak mereka dan mereka akan aminkannya.

Ramai yang menggunakan ayat ini sebagai dalil untuk tawasul iaitu meminta orang lain doakan. Ramailah yang minta ustaz doakan, orang surau doakan, tok guru doakan. Tapi kita kena ingat yang Nabi Ya'kub adalah seorang Nabi. maka doa baginda memang makbul. Jadi patutlah kalau mereka minta Nabi Ya'kub doakan untuk mereka. kalau guru, ustaz dan orang surau, adakah doa mereka itu pasti makbul ? Kalau tidak pasti, kena bergantung sangat dengan doa mereka ? Apa beza dengan doa kita sendiri ?

Keduanya, kesalahan mereka itu melibatkan ayah mereka sendiri. Mereka telah menipu ayah mereka, memisahkan baginda dari anak kesayangannya, maka patutlah kalau mereka minta istighfar dari ayah mereka.

Oleh itu, jangan gunakan dalil ini sebagai hujah untuk mengatakan patut minta 'orang alim' doakan untuk kita. Doalah sendiri sahaja, tanpa perlu berharap kepada doa orang lain. kalau kita doa sendiri, itu lebih ikhlas dan lebih makbul dari doa orang lain yang belum tentu ikhlas.

AYAT 98

Nabi Ya'qub berkata : "Aku akan meminta ampun bagi kamu dari Tuhanku; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."
(Yusuf 12:98)

Baginda beritahu yang baginda akan doakan. Maknanya baginda tidak terus buat kerana perasaan marah terhadap mereka. Baginda menunggu sehingga tenang dulu dan sekarang baginda hendak menikmati kegembiraan apabila mendapat tahu yang memang benar anaknya Yusuf itu masih hidup dan sekarang hidup dengan baik.

Ibnu Mas'ud, Ibrahim At-Taimi, Amr ibnu Qais, Ibnu Juraij dan lain-lainnya mengatakan bahawa Nabi Ya'kub menangguhkan permohonan mereka sampai waktu sahur.

Ibnu Jarir mengatakan, telah menceritakan kepadaku Abus Saib, telah menceritakan kepada kami Ibnu Idris, bahawa ia pernah mendengar Abdur Rahman ibnu Ishaq menceritakan asar berikut dari Muharib ibnu Disar, bahawa Khalifah Umar r.a datang ke masjid, lalu ia mendengar seseorang mengucapkan doa beikut :

"Ya Allah, Engkau telah menyeruku, lalu aku memenuhi seruan Mu. Dan Engkau telah memerintahkan kepadaku, lalu aku taati. Demi waktu sahur ini, berilah keampunan kepadaku." Umar mendengar suara itu, lalu menyelidikinya, dan ternyata suara itu berasal dari rumah Abdullah ibnu Mas'ud r.a. Ketika ia ditanya tentang bacaan doanya itu, ia menjawab, "Sesungguhnya Ya'cub menangguhkan permintaan anak-anaknya sampai waktu sahur melalui ucapannya yang disitir oleh firman Allah SWT : "Kelak aku akan memohon ampun bagi kalian kepada Tuhanku"

Sunday, May 28, 2017

AYAT 99 & 100 Surah Yusuf


Maka ketika mereka (Nabi Ya'qub dan keluarganya) masuk (ke Mesir) menemui Yusuf, Yusuf segera menyambut serta memeluk kedua ibu bapanya, sambil berkata : "Masuklah kamu ke negeri Mesir, insya Allah kamu berada di dalam keadaan aman.
(Yusuf 12:99)


Allah SWT menceritakan kisah keberangkatan Ya'qub ke tempat Yusuf a.s. dan kedatangannya ke negeri Mesir atas perintah Yusuf yang memerintahkan kepada saudara-saudaranya agar mendatangkan semua keluarga mereka ke Negeri Mesir. Maka mereka membawa semua keluarga mereka dan berangkat meninggalkan Kan'an (tempat tinggal mereka) menuju ke Negeri Mesir.



Tatkala Yusuf a.s.  mendapat berita bahawa mereka telah berada di perbatasan Mesir, maka ia keluar untuk menyambut kedatangan mereka. Yusuf memerintahkan pula kepada semua pembantu dan orang-orang terkemuka negeri itu ntuk menyambut kedatangan Nabi Allah Ya'qub a.s. Menurut suatu pendapat, Raja mesir pun ikut keluar menyambut kedatangannya; pendapat inilah yang mendekati kebenaran.

Dan ia dudukkan kedua ibu bapanya (bersama-samanya) di atas kerusi kebesaran. Dan setelah itu mereka semuanya tunduk memberi hormat kepada Yusuf. Dan (pada saat itu) berkatalah Yusuf : "Wahai ayahku ! Inilah dia tafsiran mimpiku dahulu. Sesungguhnya Allah telah menjadikan mimpiku itu benar. Dan sesungguhnya Ia telah melimpahkan kebaikan kepadaku ketika Ia mengeluarkan daku dari penjara; dan Ia membawa kamu ke mari dari dosa sesudah syaitan (dengan hasutannya) merosakkan perhubungan antaraku dengan saudara-saudaraku. Sesungguhnya Tuhanku lemah-lembut tadbir Nya bagi apa yang dikehendaki Nya; sesungguhnya Dia lah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
(Yusuf 12 : 100)

Nabi Yusuf a.s.  menaikkan ibubapa ke pentas singgahsana. Kalau dalam mimpi baginda yang disebut di awal surah ini, mereka berdua inilah yang diisyaratkan sebagai matahari dan bulan.

Ibu bapa Nabi Yusuf, adik beradiknya semu sujud kepada baginda. Ini adalah sebagai sujud penghormatan. Dan waktu itu tidak haram lagi, maka boleh buat. Hal ini masih diperbolehkan di dalam syariat mereka, bilamana memberikan salam penghormatan kepada orang besar, yakni boleh bersujud kepadanya. Hal ini diperbolehkan sejak zaman Nabi Adam sampai kepada syari'at Nabi Isa a.s.

Kemudian dalam syariat Nabi Muhammad SAW, hal ini diharamkan dan hanya dikhususkan kepada Allah Tuhan sekelian alam. Demikianlah ringkasan dari apa yang dikatakan oleh Qatadah dan lain-lainnya.

Nabi Yusuf mengatakan, inilah takwil mimpi baginda dulu iaitu semasa baginda kecil lagi. mimpi itu telah disebut di awal surah ini. Jadi kisah mimpi itu diawal surah dan terjadi sekali lagi di hujung-hujung surah. Jadi, kisah-kisah lain yang panjang ini adalah antara kisah mimpi itu. Allah telah memberikan mimpi itu kepada baginda dan telah menjadikannya benar.



Dan sekarang baginda memuji-muji Allah SWT. memang baginda menghadapai banyak ujian dan kesengsaraan dalam kehidupan baginda dari kecil lagi. Tapi lihatlah bagaimana baginda kata Allah telah berbuat baik dengan baginda. Baginda tidak sebutpun kesusahan yang baginda alami. Baginda cuma menyebut perkara yang baik sahaja. Mungkin kerana dia tidak mahu mengulang tentang perkara-perkara yang sedih kerana ayahnya Nabi Ya'qub telah lama bersedih.

Maka baginda mengenangkan bagaimana Allah keluarkan baginda dari penjara (tidak menyebut kes masuk penjara dan berapa lama duduk dalam penjara). Ini adalah nikmat pertama yang baginda sebut. Dan baginda bergembira dengan kedatangan mereka ke Mesir itu. Nabi Yusuf bersyukur kerana Allah telah bawa mereka keluar dari tanah padang pasir yang tidak ada makanan itu dan sekarang duduk dengan baginda. Ini adalah nikmat kedua yang disebut.

Baginda juga bersyukur kerana mereka sekarang dapat bersama, walaupun setelah syaitan cuba memisahkan antara baginda, bapanya dan adik beradik baginda. Lihatlah bagaimana sekarang baginda dah panggil mereka itu 'saudara' baginda.

Tapi walaupun abang-abang baginda telah buat banyak kesalahan kepada dirinya, baginda tidak celapun abang-abang baginda. Baginda tak sentuh pun tentang telaga yang mereka tinggalkan baginda. Ini kerana mereka yang tinggalkan baginda disitu, maka baginda tiddak mahu mengenang perkara itu. Oleh itu, baginda hanya sebut tentang penjara sahaja yang tidak ada kena mengena dengan mereka. Dan baginda salahkan syaitan.

Segala perancangan Allahamat cantik kerana Dia yang Maha Bijaksana. Kita selalunya tidak nampak hikmah disebalik perancangan Allah itu. Apabila kita sudah terima yang Allah itu Maha Bijaksana, maka kita kenalah terima apa sahaja yang Allah telah, sedang dan akan lakukan.

AYAT 101 : Surah Yusuf


'' Wahai Tuhanku, sesungguhnya Engkau telah menganugerahkan kepadaku sebahagian kerajaan dan telah mengajarkan sebahagian dari ilmu tafsiran mimpi. (Ya Tuhan) Pencipta langit dan bumi, Engkaulah Penguasa dan Pelindungku di dunia dan di akhirat, wafatkanlah aku dalam keadaan Islam dan hubungkanlah aku dengan orang-orang yang soleh."
(Yusuf  12:101)


Itulah doa Nabi Yusuf yang dipanjatkannya kepada Allah SWT setelah limpahan nikmat Allah buatnya disempurnakan iaitu dikala ia dapat berkumpul kembali dengan kedua orang tuanya dan saudara-saudaranya. Juga atas nikmat lainnya yang telah dianugerahkan oleh Allah kepada dirinya iaitu berupa kenabian dan kerajaan.

Kemudian ia memohon kepada Allah SWT agar nikmat yang telah dilimpahkan kepadanya di dunia ini terus berkelanjutan sampai ke hari akhirat dan hendaknya Allah mewafatkannya dalam keadaan Islam. Demikianlah menurut Ad-Dahhak. Dan hendaknya Allah menghimpunkannya bersama saudara-saudaranya dari kalangan para nabi dan para rasul. Semoga selawat dan salam Allah terlimpah kepada mereka semua.



Doa ini barangkali dipanjatkan oleh nabi Yusuf a.s. ketika ia sedang menjelang kewafatannya. Demikian kisah Nabi Yusuf a.s., putera Nabi Ya'qub a.s. yang mulia. Sesungguhnya menerusi kisah ini terdapat pengajaran bagi orang yang berakal demi menambahkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT.